Friday, Aug 7, 2020
HomeRelung hati“Tak Salah Isteri Bantu Suami, Tetapi Jangan Sampai Dia Tak Sedar Dek Untung!”

“Tak Salah Isteri Bantu Suami, Tetapi Jangan Sampai Dia Tak Sedar Dek Untung!”

Kehidupan kita hari ini semakin moden dan canggih, sayangnya masih ada segelintir lelaki bersikap lepas tangan dalam menjalankan kewajipan sebagai suami dan ketua keluarga.

Advertisements

Sebelum saya teruskan, biarlah saya perkenalkan diri dahulu. Nama saya, Ina*, 31, berasal dari Pulau Pinang dan mempunyai empat anak berusia sembilan hingga tiga tahun.

Saya anak sulung daripada enam beradik dan berkahwin dengan Razdan* ketika usia agak muda iaitu 22 tahun. Saya mengenalinya melalui seorang teman. Rutin hidup saya selepas berkahwin dengannya cukup sederhana, habis waktu kerja saya terus pulang ke rumah.

Walaupun usia kami berbeza 10 tahun, tetapi sikapnya kurang matang selain sensitif dan berat tulang. Kalau mahu minta apa-apa bantuan daripadanya, memang susah dan menyakitkan hati malah dia juga terlalu berkira soal duit.

Nasib baik saya bekerja dan buat perniagaan atas talian (mengambil tempatan membuat kek, coklat, kuih-muih dan hamper), jadi selalu ada duit di dalam tangan.

Kata orang, lepas kahwin murah rezeki. Memang benar, sejak berkahwin rezeki saya melimpah-ruah. Setiap hari ada sahaja pelanggan yang membuat tempatan melalui Blog, Instagran dan Facebook.

Sebagai isteri, tentunya saya mahu meringankan beban suami. Bagi saya, tiada salahnya berkongsi rezeki, apatah lagi untuk keperluan keluarga. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing. Bukan mahu memuji diri sendiri, saya memang tidak pernah berkira dengan suami.

Sayangnya Razdan tidak beranggap begitu, hari ke sehari dia semakin buat endah tidak endah sahaja tanggungjawab pada rumah tangga. Lebih menyakitkan hati, dia suruh saya tanggung sebahagian besar keperluan rumah dengan alasan pendapatan saya lebih banyak.

Memang sakit hati mendengar kata-katanya itu, tetapi saya pendamkan sahaja. Saya malas hendak bertengkak. Lagipun, dia tidak pernah mahu mengalah. Asyik nak menang dan dengar kata dia sahaja.

Dek faham sangat dengan perangainya itu, saya tidak mahu mencetuskan keadaan tidak seronok dalam rumah tangga kami dan cara terbaik, mendiamkan diri.

Saya ikutkan sahaja rentaknya, jadi semua keperluan dapur saya beli sendiri, satu sen pun saya tidak minta daripadanya. Pada masa sama, saya masih menjalankan tanggungjawab sebagai anak sulung dalam keluarga saya. Setiap bulan saya peruntukkan sejumlah wang untuk keperluan keluarga di kampung.

Tahun bersilih ganti, sikap Razdan semakin menjadi-jadi. Dia bukan sahaja lepas tangan soal keperluan anak dan rumah tangga, malah menghalang saya daripada membantu keluarga di kampung.

Sebenarnya, dia tidak tahu setiap bulan saya beri wang kepada ayah. Suatu hari, saya tak cukup duit untuk bayar bil telefon dan penyelenggaraan rumah. Jadi, saya minta dia bayar. Dia bising dan membebel, saya panas hati dan persoalkannya sebagai suami.

Mungkin dia rasa bersalah tetapi ego untuk mengakui kesilapan diri, dia persoalkan pula duit tempahan saya. Apabila dapat tahu saya kirim duit kepada keluarga, dia berang. Katanya, saya tidak boleh beri duit kepada keluarga tanpa izinnya. Dia tuduh saya menderhaka kepadanya kerana buat semua itu tanpa kebenaran dia.

Aduh, suami jenis apakah itu? Sudahlah tanggungjawab kepada keluarga diabaikan, kita pula dituduh isteri derhaka! Dia juga beri amaran, kalau saya masih beri duit kepada keluarga dia akan ceraikan saya.

Saya terkesima mendengar kata-katanya itu. Saya tidak menyangka begitu busuk hatinya, padahal sepanjang hidup bersama saya tidak pernah menyusahkan dia. Sebaliknya, saya yang menanggung hampir semua keperluan hidup kami.

Derita tanggung sendiri

Lima tahun hidup bersama sebagai pasangan suami isteri, saya semakin letih melayan kerenahnya yang tidak bertanggungjawab itu. Orang lain berkahwin, berkongsi tanggungjawab, tetapi saya terpaksa tanggung semuanya sendirian.

Tuhan sahaja tahu betapa pilu hati ini setiap kali mengenang nasib diri. Apalah dosa saya hingga terpaksa mengharungi hidup begini?

Anak pula semakin bertambah, dua adik saya pula masih belajar di kolej dan perlu dibiaya setiap bulan. Tambah merisaukan, apabila keadaan kesihatan ayah semakin merosot. Jadi, sanggup atau tidak, saya perlu menanggung kos pengajian mereka hingga selesai.

Nasib baik saya ada pendapatan sampingan, saya gunakan untuk menampung keperluan keluarga. Razdan? Minta RM10 pun dia mengungkit macam-macam. Kata-katanya sungguh menyakitkan hati. Daripada sakit hati, lebih baik diam sahaja.

Ada juga beberapa orang teman yang menegur tindakan saya itu, kata mereka tindakan saya itu ibarat membela biawak hidup. Saya sedar, sebagai ketua keluarga, dia tidak boleh bersikap lepas tangan dan menyerahkan semua tanggungjawabnya kepada saya.

Ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapa, begitulah keadaan saya. Saya hanya mampu menghadapinya dengan pasrah, lagipun saya tidak suka dia mengungkit hal keluarga saya. Biarlah saya tanggung derita ini sendirian, asalkan keluarga dapat dibantu.

Saya tidak sanggup melihat ayah yang uzur terpaksa bekerja demi menyara anak. Lagipun memang silap saya kerana terlalu beri muka kepada suami, sekarang dia semakin besar kepala dan lepas tangan.

Bertahun saya bersabar dengan sikapnya, malangnya tidak berubah. Sebaliknya seolah-olah menguji kesabaran saya. Dalam diam, dia berkahwin dengan seorang janda beranak dua.

Dasar lelaki tak sedar dek untung! Tanggungjawab sedia ada tidak mahu pikul, berani pula berbini lain.

Hati ini bagai dihiris sembilu mengenangkan perbuatannya itu. Gejolak rasa yang berbaur dalam hati saya, hanya Dia sahaja yang tahu. Tembok kesabaran saya hancur berkecai. Saya rasa seperti kain buruk, tidak berharga sesen pun di mata Johari.

“Tanpa suami, aku masih boleh hidup!”

Hampir 10 tahun hidup makan hati berulam jantung, akhirnya saya sedar, saya tidak mampu bersabar lagi. Saya tidak sanggup diperlakukan seperti patung bernyawa, tenaga saya dikerah sewenang-wenangnya.

Saya sudah banyak bersabar dan mengalah sepanjang perkahwinan kami. Cukuplah! Saya tidak mahu terus hidup dalam kepura-puraan. Daripada hidup merana bersamanya, lebih baik saya hidup sendiri bersama anak.

Lagipun, tiada bezanya bersuami atau tidak. Buat apa ada suami, kalau semua benda saya tanggung sendiri.

Syukur Alhamdulillah, kini hidup saya lebih bahagia dan tenang, Selepas setahun bercerai, saya mampu membuktikan kepada diri sendiri dan masyarakat bahawa penceraian bukan petaka dalam hidup.

Walaupun hilang kasih sayang daripada lelaki bernama suami, masih ramai yang menyayangi serta mengambil berat hal saya dan anak. Saya juga sangat bersyukur, ujian besar ini membuat saya mengenal hidup dalam erti kata sebenar.

Percayalah, sesungguhnya Allah tidak akan berlaku zalim kepada hamba-Nya. Setiap yang diuji itu sesuai dengan tahap kemampuan hamba-Nya. Sebagai hamba, kita hendaklah berusaha untuk mengatasinya.

Alhamdulillah, saya mampu menghadapi dugaan ini dan tidak sekali-kali putus asa. Paling penting, berbaik sangka kepada Allah dan kepada wanita di luar sana, saya nak pesan, memang tak salah isteri bantu suami, tetapi jangan sampai dia tak sedar dek untung!”

 

* bukan nama sebenar.

comments

FOLLOW US ON:
Ini 8 Rahsia Lelaki
9 Rahsia Senggama Ta

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja