Tuesday, Aug 21, 2018
HomeLensaSelepas 44 tahun Kini Ampang Park Tinggal Memori

Selepas 44 tahun Kini Ampang Park Tinggal Memori

HARI ini, saya mengambil peluang terakhir untuk menyelusuri setiap unit kedai di dalam bangunan Ampang Park.

Advertisements

Berbaki beberapa jam sebelum ditutup, sebahagian peniaga pusat membeli-belah ini sudah mengosongkan premis mereka. Ada juga antara mereka telah mencari rezeki di tempat lain. Manakala yang masih tinggal, berusaha sebaik mungkin pada detik-detik terakhir ini.

Sepanjang tiga jam pemerhatian saya di dalam kompleks berkenaan, kelihatan beberapa kedai sibuk membuat jualan “selamat tinggal” untuk menghabiskan stok barangan yang ada.

Sejak jam 10 pagi, ramai pengunjung yang datang tidak melepaskan peluang membeli barangan lelong. Antara barangan yang dilelong, koleksi jam, cakera padat (CD), perhiasan, pakaian, permaidani, barangan elektrik, aksesori telefon, alat tulis dan lain-lain. Pun, ramai juga yang sekadar mahu merakam kenangan di sini.

Ampang Park, yang mula beroperasi pada 1973, bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Stesen MRT Ampang Park. – (foto) BERNAMA

“Zaman sebelum kahwin dulu, di sinilah tempat saya dan bakal suami bersantai. Di sini juga kami cari baju nikah, butiknya di tingkat dua. Tadi, saya lalu, butik itu sudah kosong. Tiba-tiba rasa sedih.” Kata salah seorang pengunjung yang turut tidak ketinggalan mengabadikan kenangan di pusat beli-belah ini.

Ya… Siapa sangka, selepas 44 tahun beroperasi, Ampang Park akan menutup pintunya secara rasmi hari ini. Gedung menjadi pusat beli belah pertama dibina di Malaysia pada tahun 1973. Justeru, pastinya ramai yang mempunyai kenangan di sini.

Saya masih ingat, suatu ketika dahulu, pusat beli-belah ini antara yang terhebat dan menjadi tumpuan anak muda khususnya pada hujung minggu. Di sinilah tempat bertemu rakan, bersantai, membeli-belah atau sekadar jalan-jalan cuci mata.

Tahun silih berganti, bangunan setinggi empat tingkat yang terletak di persimpangan paling sibuk di wilayah Kuala Lumpur ini semakin ditenggelami pelbagai binaan pencakar langit dengan rekaan lebih moden dan gah.

Walaupun banyak gedung beli belah dibina berhampirannya, namun Ampang Park tetap ‘hidup’ dengan cara dan kelebihan tersendiri. Masih ramai pengunjung khususnya pelanggan tetap yang datang ke sini sama ada untuk membeli-belah, membuat urusan perbankan atau menjamu selera.

Pengunjung mengambil kesempatan berkunjung ke Kompleks Ampang Park buat kali terakhir sebelum kompleks itu berhenti beroperasi. – (foto) BERNAMA

Terpaksa akur

“Di sini bukan saja tempat cari makan. Anak-anak habis sekolah, semua datang sini tolong saya. Sekarang, kedai sudah kosong… Hati saya ‘dalam’ kedai ini. Rasa macam mimpi, saya fikir masih ada peluang di sini, tapi tak boleh buat apa-apa.” Kata salah seorang peniaga di sini.

Hari ini, dia dibantu anaknya mengemas barangan yang masih berbaki di dalam kedai. Wajah peniaga berusia lingkuangan 50-an itu suram, nada suaranya perlahan dan sayu.

Saya sedar, bukan sesuatu yang mudah untuk menerima hakikat yang terbentang di depan mata. Pun, mahu tidak mahu, tiada lagi upaya untuk menentang kenyataan itu.

Projek pembinaan laluan Transit Aliran Massa (MRT2) dan terowong yang menyambungkan stesen S16 MRT dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park boleh dilihat dari pusat beli belah itu. – (foto) BERNAMA

Setelah hampir setahun peniaga di gedung ini berjuang mempertahankan pusat beli-belah ini, namun mereka terpaksa akur dengan keputusan mahkamah yang menolak rayuan 39 pemilik premis perniagaan dan penyewa yang memfailkan tindakan undang-undang ke atas rancangan merobohkan bangunan berkenaan untuk pembinaan projek laluan pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan stesen Transit Aliran Massa (MRT) baharu ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park.

Ampang Park kini tinggal memori yang pastinya mendakap erat hati setiap kita khususnya pelanggan tetap gedung ini.

 

comments

FOLLOW US ON:
Kekasih Paksa Rela
Pengasas Dan Penerbi

nishaeimann@gmail.com

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja