Saturday, Jul 20, 2019
HomeRelung hatiRumahtanggaku Musnah Dikhianati Sahabat Baik

Rumahtanggaku Musnah Dikhianati Sahabat Baik

Rumahtangga ku Musnah Dikhianati Kawan Baik

Terima kasih kerana menyiarkan luahan hati saya ni. Sebenarnya, saya tak tahu nak bercerita kepada siapa lagi. Hampir semua orang terdekat mengkhianati saya. Termasuk suami dan kawan baik sendiri.

Advertisements

Walaupun kejadian ini berlaku sudah hampir tiga tahun, tetapi sukar untuk saya melupakannya. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya lafaz talak ‘hadiah’ daripada bekas suami apabila rahsianya terbongkar. Waktu itu dunia terasa gelap, saya hilang punca apatah lagi mengenangkan nasib ketiga anak kami.

Semua gara-gara ‘kawan baik’ sendiri. Dialah yang bertanggungjawab memusnahkan kebahagiaan saya dan anak. Kerana dia, kami hilang tempat bergantung. Sungguh tak sangka, dia sanggup menikam saya dari belakang.

Saya dan dia sebelum ini kawan baik. Kami rakan sekerja, semua masalah saya dalam tangan dia. Kepadanyalah tempat saya mengadu susah senang, tetapi tak sangka itu menjadi senjata dia untuk meruntuhkan rumah tangga saya.

Semuanya bermula apabila dia menumpang kereta suami saya untuk ke tempat kerja. Sebelum itu, kami bertiga tetapi selepas saya bercuti panjang sebab masalah kesihatan ketika mengandung anak ketiga. Waktu itu saya hamil lima bulan.

Memandangkan dia tiada kenderaan sendiri, dia minta izin untuk menumpang kereta suami. Kebetulan kami tinggal di taman perumahan sama. Dia tinggal bersama ibu dan dua adiknya. Saya setuju dia tumpang kereta  suami sebab percaya ‘kan dia. Suami pula tak banyak soal, ikut saja kata saya.

Semuanya berjalan seperti biasa hingga suatu hari saya jumpa bungkusan hadiah di dalam bonet kereta. Apabila saya tanya suami, katanya hadiah prestasi kerja daripada syarikat.

Saya berasa hairan sebab sepanjang kami hidup bersama, tak pernah pula saya nampak suami terima apa-apa hadiah daripada tempat kerjanya. Dek percayakan suami, saya diamkan saja.

Kantoi

Selang dua minggu, seorang jiran kami beritahu ada ternampak suami dan ‘kawan baik’ saya itu di sebuah pusat beli-belah. Katanya, gelagat mereka mesra seperti pasangan kekasih.

Sayang, saya tak percaya. Mana mungkin suami saya yang baik, penyabar, penyayang dan bertanggungjawab itu buat perangai tak senonoh di belakang saya. Berita yang disampaikan jiran itu saya abaikan saja. Malas nak fikir bukan-bukan, tambah lagi tiada bukti suami berlaku curang.

Suatu hari, suami beritahu dia perlu ke Sabah lima hari sebab ada kursus. Saya masih tak syak apa-apa walaupun rasa sedih dan bimbang sebab keadaan ketika itu sedang sarat, tetapi memikirkan dia pergi kerana urusan kerja, saya telan kerisauan di hati.

Sepanjang ketiadaan suami di rumah, saya uruskan semua keperluan anak sendirian. Suatu hari anak nak makan nasi ayam, saya pula tak larat berdiri lama di dapur. Jadi, saya bawa mereka makan di luar.

Waktu kemas kereta, saya jumpa pakaian dalam perempuan di dalam poket kerusi. Berderau darah melihatnya. Pastinya itu bukan milik saya. Saya menangis macam budak kecil, rasa nak meraung dan menjerit sekuat hati tetapi saya tahan.

Saya kuatkan semangat, bawa anak pergi makan dan beli beberapa keperluan dapur. Malam itu, saya cuba hubungi suami tetapi tak dijawab. Begitu juga SMS (sistem pesanan ringkas). Sepanjang malam saya tak dapat tidur. Kandungan juga buat hal, mengeras hingga saya rasa sesak nafas. Saya cuba bertenang kerana takut keadaan emosi memberi tekanan kepada bayi.

Selepas solat Subuh, saya cuba hubungi suami tetapi panggilan tak dijawab. SMS saja juga dibiarkan begitu saja. Saya tak senang duduk. Perasaan bercampur baur, akhirnya saya pitam.

Ketika sedar, saya berada di dalam ward. Rupa-rupanya anak sulong yang berusia lima tahun minta tolong jiran, mereka yang hantar saya ke hospital. Alhamdulillah, kandungan saya selamat cuma perlu bersalin awal sebab keadaan baby berisiko.

Saya telefon suami, kali ni dia jawab tetapi nada suaranya seperti acuh tak acuh. Padahal, saya beritahu keadaan kesihatan bayi kami waktu itu. Daripada nada suara dan reaksinya, dia seperti tidak risau langsung. Saya rasa kecil hati dan pelik. Biasanya, kalau berkait dengan anak, dia memang risau.

Pilihan

Saya selamat melahirkan anak ketiga secara pembedahan. Walaupun tidak cukup bulan tetapi keadaannya stabil, cuma saya sangat kecewa kerana suami tiada di sisi ketika itu. Dia beri alasan tak dapat balik awal, mesti selesaikan kerja khusus.

Dua minggu kemudian, saya dibenarkan balik tetapi sekali lagi saya kecewa apabila suami SMS beritahu tak dapat ambil di hopsital. Alasannya ada mesyuarat tergempar. Nasib baik ada adik ipar yang datang menolong. Kalau tak, terpaksalah naik teksi.

Waktu dalam pantang, suami tak leka di rumah. Ada saja alasannya. Kata dia, sibuk dengan kerja. Pergi kursus setiap minggu, saya mula berasa curiga. Entah kenapa terdetik hati saya untuk hubungi kawan baik yang biasa tumpang kereta suami, tetapi panggilan tak dijawab. Berkali-kali saya cuba telefon dia, tetapi satupun dia tak jawab. Pelik!

Kata orang, pertolongan Tuhan itu datang tepat pada masanya. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah. Habis tempoh berpantang, saya kembali bekerja. Hari pertama bekerja, dapat tahu kawan baik saya itu sudah dua minggu berhenti. Saya juga perasan, cara rakan sekerja lain pandang saya seperti ada yang tak kena, tetapi tak pula saya tanya kenapa.

Suatu hari, kawan baik saya itu datang rumah. Saya gembira sebab sudah lama tak jumpa dan bersembang dengan dia, tetapi dia nampak lain. Cara dia menyapa suami saya juga berbeza tetapi saya masih tak dapat syak apa-apa.

Percaya tak, perempuan itu datang untuk beritahu saya, dia dan suami sudah berkahwin! Dia adalah madu saya, dia tuntut hak dia sebagai isteri! Ya Allah, hanya Tuhan saja Maha Tahu perasaan saya ketika itu. Saya pandang muka suami, dia diam saja. Tidak keluar sepatah kata. Hanya dia membatukan diri.

Saya naik hantu. Hari itu kami bertiga bergaduh besar. Saya minta suami buat pilihan, sama ada saya dan anak  atau perempuan itu (isteri baharunya). Sungguh, saya tak pernah terbayang atau terfikir akan melalui situasi itu. Anak-anak menangis, perempuan itu pula tak sedar diri. Dia beria-ia memujuk suami.

Akhirnya, suami jatuhkan talak kepada saya. AllahuAkbar. Saya tak sangka dia akan buat keputusan itu. Tak sangka dia sanggup buang saya dan anak demi perempuan itu. Saya menyesal beri ruang mereka rapat sebelum ini.

Foto: Today.com
* Catatan ini seperti yang diceritakan Zambri (bukan nama sebenar) kepada pengelola Relung Hati. Jika anda ingin berkongsi luah hati di ruangan ini, emelkan kepada kami di mediawriter1@gmail.com (untuk perhatian pengelola ruangan Relung Hati).

 

 

 

 

 

 

 

 

comments

FOLLOW US ON:
10 Tip Memulakan Hub
Ini 7 Sebab Mengapa

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja