Sunday, Aug 18, 2019
HomeKeluargaIni 4 Tanda Hubungan Suami Isteri Yang Sakit

Ini 4 Tanda Hubungan Suami Isteri Yang Sakit

“Suami saya nampak lain macam saja kebekalangan ni. Kalau ajak keluar bersama, dia tak mahu. Kalau dia keluar, tak suka saya ikut sama. Dia sanggup tak keluar sebab tak mahu saya ikut. Apabila ditanya kenapa, dia diam saja. Nampak macam tak selesa dan rimas apabila saya duduk di sebelahnya terutama waktu dia melayari Internet atau balas SMS seseorang.” Luah Nita. Wajahnya muram dan sedih.

Benar, hubungan suami isteri boleh diibaratkan seperti sesuatu yang hidup. Tidak mungkin perhubungan itu sentiasa sihat, ada masanya akan sakit dan lemah.

Advertisements

Jika hubungan yang tidak sihat ini dibiarkan sahaja, keadaan ini boleh menjadi buruk dan tidak dapat diselamatkan lagi. Kesannya, timbul komplikasi pelbagai penyakit dan paling menakutkan boleh mematikan kehidupan itu, dengan kata lain, berakhirlah hayat rumah tangga itu.

Ini adalah gambaran ‘penyakit’ dalam kehidupan berumahtangga. Ramai pasangan suami isteri berfikir hubungan tergugat atau berakhir secara tiba-tiba, tanpa sebab atau tanda. Padahal, tiada akibat tanpa sebab. Tidak mungkin hubungan yang pada awalnya bahagia dan harmoni, secara tiba-tiba menjadi kucar-kacir.

Ya, betul, tiada satu pun masalah dalam rumah tangga berjalan tanpa proses penyelesaian. Pasti ada gangguan kecil dalam hubungan itu yang mungkin tidak disedari. Semakin lama bertambah parah, seperti barah sedikit demi sedikit menghancurkan keharmonian rumah tangga.

Tanda hubungan yang sakit biasanya mempunyai gejala khusus. Justeru, amat penting bagi pasangan suami isteri mengetahui sekali gus peka gejala suatu hubungan yang mulai sakit.

 

Baiklah, di sini kami kongsikan empat gejala umum yang biasa dihadapi pasangan suami isteri. Antaranya:

1. Menjauh
Sebagai pasangan, anda tentunya sering melakukan sesuatu bersama. Misalnya, pergi ke majlis perkahwinan teman, membeli-belah atau menikmati waktu senggang bersama.

Apabila anda menyedari sama ada anda atau pasangan sering melakukan kegiatan bersendirian, waspadalah. Alasan yang diberikan biasanya sangat klasik, seperti; “Saya perlukan ruang/masa untuk diri sendiri.”

Dalam hubungan rumahtangga, perkara ini menandakan pasangan tidak lagi berasa selesa dengan kehadiran anda di sisinya.

2. Mengeluh
Pada awal perhubungan, semua kekurangan anda (atau pasangan) mungkin menjadi perkara menyenangkan. Apabila hubungan mulai pudar, kekurangan anda tunjukkan mungkin boleh menimbulkan reaksi seperti teguran atau keluhan pasangan (atau anda).

Reaksi ini mungkin muncul daripada anda atau pasangan jika ada melakukan sesuatu yang dulu mungkin dianggap lucu. Walaupun ini hanya gejala remeh, namun tersembunyi petanda anda atau pasangan sudah bosan dengan semua perilaku itu.

3. Bertengkar
Berasa pasangan anda sengaja mencari masalah hingga setiap hari ada sahaja perkara yang menimbulkan pertengkaran?

Secara sengaja memancing pertengkaran dengan harapan pasangannya berasa bosan dan memutuskan untuk menamatkan sahaja hubungan itu. Pertengkaran itu boleh bermula daripada masalah yang amat kecil dan kemudian diperbesarkan serta segera mencari kesalahan anda.

Hubungan yang sihat juga sering bertengkar, tetapi biasanya menemui jalan keluar selepas pertengkaran selesai. Sayangnya, bagi hubungan yang mulai sakit, keadaan itu seperti tiada kesudahan.

4. Orang ketiga dalam perbualan
Berhati-hatilah, jika dalam pelbagai keadaan atau perbualan seharian pasangan mula menyebut orang lain sebagai rujukan tambahan, terutama sekali orang yang disebut wanita/lelaki lain.

Misalnya, ketika anda memilih bergaya dengan gaun merah untuk majlis makan malam, lalu dia berkata, “Kawan sepejabat abang, Mira pun suka pakai gaun merah macam ni.”

Jika perkara ini selalu terjadi dan meliputi berbagai aspek dalam kehidupan rumah tangga anda, terutama jika yang dirujuk adalah orang sama maka anda perlu berwaspada.

Secara psikologi, tanda seperti itu menunjukkan bahawa pasangan anda sedang memikirkan orang yang berkenaan.

Tanpa berfikir mengenai orang itu, tidak mungkin dia akan melontarkan pendapat berkenaan. Anda juga perlu waspada jika pasangan sama sekali tidak pernah mengenali orang yang sering disebut itu.

 

Hey… Jangan lebih-lebih, ya!

Walaupun anda perlu berhati-hati apabila salah satu daripada empat gejala itu muncul, janganlah sampai terlalu curiga hingga menimbulkan masalah lain.

Berusahalah untuk mencari kebenaran daripada kecurigaan anda. Mungkin gejala itu bersifat sementara sahaja kerana dalam hubungan yang paling sihat dan harmonis sekalipun pasti muncul perasaan bosan.

Paling penting, selalu muhasabah diri. Apakah sepanjang hubungan,  anda telah melakukan perkara terbaik untuk pasangan? Apakah anda berusaha sebaik mungkin untuk membina hubungan yang sihat?

Apa-apa juga masalah yang berlaku dalam rumah tangga, jika salah seorang atau kedua-duanya berusaha ‘menyembuhkan penyakit’ itu, pasti ada jalan keluar. Paling utama, perlu ada kerjasama dan komitmen untuk memperbaikinya.

Semoga hubungan dan rumah tangga anda juga pasangan sentiasa aman bahagia.

comments

POST TAGS:
FOLLOW US ON:
Anak Permata Tak Ter
Resipi Gulai Tempoya

nishaeimann@gmail.com

Selain gemar memerhati, selalu teruja merakam keindahan semula jadi. Suka melancong terutama ketika musim sejuk. Gemar muzik keras, teater dan novel indie serta puisi jalanan.

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja