Tuesday, Oct 23, 2018
HomeKeluargaBenarkah Suri Rumah Lebih Cepat Stres?

Benarkah Suri Rumah Lebih Cepat Stres?

Foto: thaihealth

“Aik… Duduk rumah, jaga anak dan urus rumah tangga pun stress? Manjanya!”

Advertisements

“Alah… Mengada-ada saja tu. Bukan susah mana pun buat kerja rumah, apa yang stress sangat? Hati tisulah tu!”

Sekadar memetik beberapa contoh komen dan tanggapan segelintir kita apabila menyentuh isu suri rumah stres. Ya, kita mungkin boleh beranggapan apa sahaja. Pun, tetaplah yang empunya badan menanggungnya. Maklumlah, tidak kena batang hidung sendiri memang sedaplah berkata-kata.

Kenyataannya, hampir setiap hari ada sahaja  hantaran (posting) daripada netizen (khususnya suri rumah) di media sosial (terutama facebook) yang sering menjadi tempat mereka berkongsi luahan perasaan mengenai tekanan urusan anak dan rumah tangga sendirian.

Ada juga beberapa ‘group dan fanpage khas’ yang sengaja diwujudkan untuk golongan ini berkongsi masalah berkaitan rumah tangga. Di ruang berkenaan, ada yang memberi nasihat, pandangan dan cadangan. Tidak terkecuali juga mengecam tindakan pengadu yang dikatakan sengaja ‘membuka aib pasangan’.

Misalnya, luahan perasaan wanita ini;

“Memanglah saya tak bekerja, duduk aje di rumah jaga anak dan urus rumah. Tetapi penatnya berganda, suami pula lepas tangan. Anak bukan seorang, tetapi lima orang nak di uruskan semua seorang diri. Sampai nak makan pun terkejar-kejar, nak lelapkan mata memang susah. Sampai malam, kerja rumah masih belum habis. Setiap hari kepenatan, tak ada masa untuk diri sendiri. Stress betul!”

Ya, tekanan perasaan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa disedari, tetapi benarkah suri rumah sepenuh masa lebih mudah berasa tertekan? Mengapa?

Mengikut penyelidikan dan pandangan psikologi Islam, individu yang cenderung mengalami tekanan dikenal pasti mengalami ketegangan fizikal dan psikologi dalam tempoh masa panjang.

Jika keadaan ini dibiarkan, boleh menggugat keupayaan seseorang untuk mengendali keadaan dengan baik. Antara faktor utama stres termasuk diri sendiri, pengaruh keluarga selain faktor persekitaran.

Menurut seorang kaunselor psikologi dan penulis inspiratif, Prateek Vats, ada beberapa gejala tekanan yang boleh dikesan. Antaranya;

  • Perasaan tidak berharga atau keputusasaan
  • Kemarahan dan marah terhadap isu-isu kecil
  • Kehilangan minat dalam bersosial
  • Gangguan tidur
  • Rasa bosan dan letih
  • Terbabit dalam pertelingkahan dengan ahli keluarga
  • Rasa seperti menangis bila-bila masa sahaja

Tekanan juga boleh mempengaruhi secara psikologi dan fisiologi.

Gejala fisiologi;-

• Sakit kepala

• Perut tidak selesa

• Keletihan

• Kegelisahan

• Denyutan jantung cepat

 Gejala psikologi;-

• Kemarahan

• Kesedihan

• Masalah dalam membuat keputusan dan tumpuan

• Masalah ingatan / Ketidakmampuan

• Rasa tidak selamat

Terdapat ujian tertentu untuk mendiagnosis tekanan, seperti soal selidik, temu janji bersemuka, ujian biokimia dan fisiologi. Sekarang persoalannya, bagaimana mengawal tekanan?

Tekanan boleh dikendalikan dengan menjadualkan semua kerja peribadi dan profesional anda. Begitu juga jika anda perlu beristirehat, berehat dan keluar untuk bersiar-siar. Perkara penting lain adalah melakukan senaman dan mempunyai diet berkhasiat yang betul.

Sebarkan masa anda untuk setiap aktiviti dengan sewajarnya. Jika boleh, dapatkan bantuan dari mana-mana kaunselor berpengalaman untuk mengurus tekanan dan kehidupan anda.

Apa kata suri rumah;-

Dieha Ahmad

“Saya pernah diejek “goyang kaki” bila jadi suri rumah sepenuh masa. Diamkan saja, malas nak melayan. Inilah saya. Tak dinafikan, pada awalnya saya rasa cepat stress, lebih lagi apabila ada ank kecil yang perlu diberi perhatian sepenuhnya. Bila masa mahu kemas rumah, nak jemur kain, memasak, lipat pakaian. Rasa macam kena buat semua benda dalam satu masa je!

“Mindset saya macam itu dan lama-kelamaan, saya tak boleh nak beri ‘kerjasama’ kepada diri sendiri. Akhirnya, syaa jadi stress dan pernah menangis tanpa sebab. Tapi, kemudiannya saya sedar, saya ubah apa yang saya “mindset” selama ni. Saya mula dengan anak-anak. Saya libatkan mereka dalam kerja yang saya buat. Misalnya, bila saya nak jemur baju, saya tugaskan dia sepit baju yang dijemur dan tugas tu jadi mudah sebab pada masa sama jadi hiburan untuk  kami berkomunikasi dengan bersahaja.

“Memandangkan anak memag melekat 24j am, setiap kerja memang ada “peminat” kecil yang akan ikut. Pada masa sama, komunikasi bersama anak berkembang dan saya boleh buat kerja rumah dengan tenang. Anak  juga akan faham bila ibu buat kerja, mereka join sekali dan tunggu ibu siap buat kerja barulah ibu akan “main” bersama. Waktu solat akan jadi masa “rehat” bersama anak.  Masa itulah, rasa boleh cool down dan anak pun akan diam kat sebelah bila ibu solat. Keadaan itu bagaikan terapi buat saya.

“Apabila jadi suri rumah, memang akan menghadap kerja yang sama. Saya selitkan sesuatu, saya online (misalnya fb, watpad, baca berita), buat mini garden, tanam pokok bunga, buat kek/puding. Semestinya ada peminat kecil ikut serta. Stress akan hilang sikit-sikit. Biasalah, bila si kecil buat perangai. Stresslah juga tapi sekejap saja sebab sudah tahu macam mana nak overcome balik.

“Saya akan cari me time sendiri. Minum secawan kopi jam 12 tengah malam juga buat saya relax. Anak sudah masuk tidur, kerja rumah akan diteruskan setiap hari. Bila penat, rehat. Jangan paksa diri. Kena ada tenaga utk diri sendiri dan  keluarga. Alhamdulillah,  syukur suami saya sentiasa beri kerjasama dan sokongan. Bila tengok saya penat, dia sangat ringan tulang membantu termasuk memasak atau kemas rumah.  Paling best, mandikan dan suapkan anak.”

Rashidah Jamaludin 

“Saya mempunyai 2 cahaya mata Auni Safiyah, 2 tahun dan Amni Fatima,11bulan. Setiap seorang ada ragam berbeza.. Rutin harian saya memang mencabar.

“Biasanya saya cepat stress bila waktu Amni nak menyusu, Auni pula merengek buat hal. Time ni sangat stress, usia dia dan adiknya beza setahun saja. Jadi, dia juga nak perhatian saya. Ini sangat mencabar buat saya. Waktu nak memasak pun boleh buat saya jadi stress sebab anak mahu berdukung. Agak payah nak buat kerja harian kerana anak selalu nak berdukung. Nak sidai baju pun berdukung, memang stress dan penat sangat.

“Suri rumah sepenuh masa seperti saya banyak berfikir sebab semua benda kena buat. Lepas siap satu kerja,  sambung buat kerja seterusnya. Bila kerja tergendala, aduh… Susah hati. Anak-anak pula masih kecil dan nak membesar, rumah bersepah dan buat macam-macam onar itu perkara biasa.

“Kakak suka sakat adik, bila kita leka buat kerja ada saja yang terjadi. Biasanya, si kecillah suka menangis disakat kakaknya. Riuh rumah dibuatnya. Bila masa untuk diri sendiri? Apabila suami balik kerja dan bantu jagakan anak, dapatlah saya berehat sekejap.”

Wan Nur Albaniah Wan Ghazali

“Betul ke suri rumah lebih cepat stress?” 100% betul! Saya dengan gembiranya bersetuju. Orang kata seronoklah suri rumah ni, dapat duduk rumah “duduk saja, goyang kaki”, menghabiskan duit suami. Orang tidak tahu, kita 24 jam tak berhenti kerja. Nampak senang, tapi tiada istilah “beristeri rehat”. Tuhan aje tahu rasa penat yang tak hilang. Kerja rumah yang tak berhabisan.

“Rasa stress itu sedikit waktu anak seorang. Apabila anak sudah bertambah, stress pun turut ikut sama bertambah. Saya pernah mengikuti saringan kesihatan mental yang dijalankan ‘Facebook: Kementerian Kesihatan Malaysia’. Hasilnya kemurungan saya di tahap yang teruk dan tahap kerisauan saya di tahap yang sangat teruk. Walaupun ia hanya keputusan saringan, saya segera ambil tindakan segera dengan melakukan aktiviti aktiviti yang tidak menambahkan lagi stress saya.

“Stress itu bermula apabila anak saya yang kecil tidak tidur malam, manakala anak saya yang berumur 3 tahun tidak tidur siang. Waktu tidur saya? Hilang. Saya pernah bekerja dalam masa yang sama menjadi ibu di rumah, ia tidak sama dengan 24 jam menjadi suri rumah. Tidak ada masa untuk sendiri, tiada masa untuk kehidupan sosial. Saya mengabdikan diri  sepenuhnya untuk anak dan suami.

“Jadi  apa yang saya lakukan ialah dengan meluahkan rasa tekanan saya kepada suami dan Alhamdulillah suami memahami. Suami bawa saya berjalan, beri saya ganjaran setiap bulan dan sentiasa berpesan jika melakukan kerja berat tangguhkan saja kerja itu dan biarkan dia buat.

“Kami juga sedang berusaha untuk membetulkan masa tidur anak yang kedua. Tekanan perasaan, stress yang berpanjangan adalah tidak elok dibiarkan berterusan. Luahkan apa yang terpendam. Bagi, saya suami sudah memberi galakan yang bagus untuk tidak terlalu memikirkan dan sama-sama membantu dalam menguruskan rumah tangga dan anakk.

“Selain itu amalkanlah zikir yang boleh menenangkan hati kita dan jangan lupa sentiasa panjatkan doa agar kita semua memperoleh darjat yang tinggi di sisiNya. Selalukan berdoa agar suami , anak anak berlembut hati dan keluarga kecil kita semua sentiasa menjadi keluarga sakinah mawaddah wa rahmah.”

comments

FOLLOW US ON:
5 Rahsia Didik Anak
"Keikhlasan Suria Su

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja