Sunday, Sep 23, 2018
HomeInspirasiBekas Anak Didik Dedah Sikap Sebenar Tamar Jalis

Bekas Anak Didik Dedah Sikap Sebenar Tamar Jalis

TAMAR JALIS, nama yang cukup dikenali ramai khususnya peminat setia novel seram, Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ) yang tersohor sejak tiga dekad.

Advertisements

Pemergian penulis tersohor kelahiran Beruas, Perak ini pada 26 Ogos 2018 cukup mengejutkan orang ramai, terutama keluarga, rakan terdekat dan kenalannya. Tidak ketinggalan juga bekas anak didik beliau yang menulis catatan menerusi akaun facebook mengharukan netizen.

Anis Remli yang mendakwa pernah bekerja di bawah bimbingan Tamar Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud, dalam tulisannya itu mendedahkan sikap sebenar bekas ketuanya itu. Dalam hantarannya itu, dia mengimbas kembali sikap dan nasihat yang banyak dikongsi arwah;-

Sedang sibuk proses bahan artikel, tiba-tiba terkenangkan beliau…

“Kita nak sembang apa pagi ni, Nis? Kamu sihat? Kerja macam mana? Terima kasih ingat Uncle lagi, ingat dah kerja tempat bagus, tempat besar dah lupa Uncle.

“Anis nak tanya apa? Kita sembang ala kedai kopi sudahlah ye, dengan kamu ni tak reti Uncle nak formal-formal.”

Pagi itu, seperti yang telah dijanji bersama kami bertemu. Beliau bertemankan isteri, anak, menantu dan cucunya yang ikut sama untuk sarapan.

Saya yang dalam situasi teruja, agak beremosi pagi itu. Tapi, saya jual sengih sambil sibukkan diri dengan segala peralatan merakam sesi temubual kami.

Hari itu, hari pertama berjumpa semula dengan ‘adiguru’ saya selepas beberapa tahun tak sempat bertemu muka.

Banyak yang kami bualkan sampai tersasar daripada topik temubual. Lebih banyak berkenaan bekas rakan-rakan sekerja kami. Gelak ketawa dan serius beliau apabila menyentuh soal penulisan masih sama, mesranya juga seperti selalu.

Sama seperti dahulu, setiap kali berbual dengan beliau situasinya seperti sembang anak dan ayah. Teguran, nasihat dan cadangan yang diberi selalu membakar semangat.

Beliau, ‘adiguruku’ yang selalu sudi memberi. Ye, memberi masa dan ruangnya untuk membantu, membimbing dan mengajar tanpa merendahkan kebolehan dan kemampuan saya.

Beliau tak pernah menengking, menyindir, mentertawakan atau merendah-rendahkan hasil tulisan saya.

Bagi beliau, seorang penulis harus punya gaya penulisan tersendiri. Ditiru orang tak melekat, apabila dibaca menyambung ke hati (justeru, takkan mungkin ada pengganti #TamarJalis ).

Acap kali kata-katanya yang ‘halus berseni’ buat saya ‘nampak’ dan ‘sedar’ kelebihan juga kelemahan diri, sedang saya sendiri tak sedar.

Baca juga Rahsia Siri Bercakap Dengan Jin popular

Saya masih ingat, di pejabat tempat kami bekerja dulu. Biliknya menghadap meja kerja saya.

Dari bilik kerjanya, bunyi ketukan papan kekunci mesin taip begitu rancak. Sesungguhnya, di dalam bilik itu banyak karya hebat yang telah beliau hasilkan.

Banyak juga buku, kamus, majalah dan bahan bacaan lain bersusun di situ. Kadang, apabila menjenguknya nyaris tak kelihatan kerana terlindung dek timbunan buku. Almari di bahagian belakang, kiri dan kanan semuanya sendat.

Tiga buah kamus tebal (yang saya suka mengusik beliau dengan menyebut, “Uncle… Pinjam ‘kayu balak’ ni sekejap ye.”) wajib ada di atas mejanya. Kalau ‘hilang’, beliau tahu siapa punya ‘angkara’

😊.

Situasi dalam ruang kerja juga seperti sebuah keluarga. Beliau selesa disapa ‘Bang Mat @ Abang Mat, Mat atau Uncle Mat’.

Orangnya juga cukup menjaga waktu solat dan pemakanan. Waktu petang, beliau suka belanja gorengan (pisang goreng, keropok lekor, cucur bawang).

Sepanjang 10 tahun kerja bersama dan berguru dengannya, saya tak pernah dengar beliau tengking sesiapa.

Hubungan kami semua bagaikan sebuah keluarga kecil yang indah untuk dikenang sampai bila-bila. Hinggakan, begitu berat hati saya untuk melangkah keluar dari pejabat itu buat kali terakhir dan meneruskan perjuangan menulis di syarikat lain.

Hari itu saya sampaikan kepada beliau, tawaran kerja yang saya terima. Ye, beliau terkejut dan banyak diam beberapa hari.

Saya nyaris tak jadi berhenti kerja, mahu kekal bersama beliau dan rakan sekerja lain sampai bila-bila.

Pun, beberapa hari selepas itu beliau panggil saya ke biliknya. Banyak yang kami bicarakan, paling penting nasihat-nasihatnya yang hingga kini saya jaga sebaik mungkin.

Baca juga Selepas Tiga Dekad, Tamar Jalis Tetap Popular

Kata-katanya masih segar diingatan; “Tak apa, pergilah. Anis dapat tawaran di tempat yang bagus. Ramai wartawan dan penulis hebatberjaya dari sana.

“Di sana pun Anis boleh belajar ilmu dan kutip pengalaman lain. Walau suasana nanti mungkin tak sama macam di sini, teruskan. Lagi satu, apa-apa pun jangan berhenti menulis.”

Tamar Jalis, Mohd Razdi, Ahmah Mahmud, Bang Mat atau Uncle Mat… Apa pun nama panggilan orang kepadanya, secara peribadi saya sifatkan keperibadian beliau lebih hebat dan terkenal daripada namanya.

Sukar mencari penulis yang ‘membumi’ sepertinya. Beliau juga tak pernah mendabik dada dengan keistimewaan dan kejayaan kerja seninya.

Sombong? Berlagak? Oh, maaf. Itu bukan sikap beliau.

Hmmm… Sejujurnya, saya selalu rindu suasana pejabat kecil kami. Di situ, kami berkarya penuh cinta.

Al-Fatehah.

comments

FOLLOW US ON:
6 Cara Mudah Dan Mur
Ini 4 Tanda Hubungan

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja