Sunday, Jun 16, 2019
HomeKeluarga7 Rahsia Ini Bantu Cinta Anda Kekal Bahagia

7 Rahsia Ini Bantu Cinta Anda Kekal Bahagia

“SETIAP hari saya dan suami sibuk hingga tiada masa berbual dan berkongsi masalah. Hidup macam orang bujang, padahal kami tidak bergaduh atau ada krisis rumah tangga,” luah Rozie mengenai hubungannya dengan pasangannya yang hambar sejak kebelakangan ini.

Tidak dinafikan, tinggal sebumbung tetapi masing-masing sibuk hingga kurang berkomunikasi. Ini boleh membuat hubungan dengan pasangan ibarat, “dekat di mata, tetapi jauh di hati”.  Jika keadaan ini berlarutan, boleh memberi kesan buruk kepada keharmonian rumah tangga sekali gus kelangsungan hubungan suami isteri.

Advertisements

Memang benar, kerjaya tunjang utama masa depan keluarga. Meskipun begitu, pasangan suami isteri harus berusaha menjaga kemesraan agar hubungan tetap kekal bahagia dan malar segar. Walaupun jadual harian padat, anda boleh mengajak pasangan melakukan hal kecil tetapi berkesan mengeratkan hubungan. Banyak cara yang kadangkala kedengaran remeh, namun membantu merawat cinta pasangan suami isteri agar tetap segar dan harmoni.

Ada beberapa cara sedehana yang boleh anda cuba.  Misalnya, memberi kucupan dan senyuman kepada pasangan, saling membantu, sentuhan mesra dan hangat, menghadiahi pasangan dengan sesuatu yang diinginkannya, menjaga kebersihan diri dan memberi pujian.

Selain itu, usaha mewarnai setiap pertemuan dan perpisahan dengan kucupan dan senyuman. Kucupan yang diberikan suami atau isteri ketika hendak keluar atau pulang ke rumah boleh mendamaikan hati. Pelakukan ini juga memberi tanda kerelaan, penerimaan, doa dan isyarat kebaikan. Kesetiaan antara pasangan suami isteri terjaga dengan baik.

Panduan berikut mungkin boleh membantu anda menjaga keintiman hubungan dengan pasangan.

  1. Faham tugas pasangan

Membantu pasangan melakukan sebahagian daripada tugas dan tanggungjawabnya boleh membuat hubungan semakin mesra. Ada dua sebab, pertama dapat memahami tanggungjawab dan tugas pasangan, hingga proses mewujudkan empati berjalan lebih baik. Misalnya, “Ohh..penat juga nak pujuk anak, ya”. Kedua, pasangan mendapat perhatian dan berasa dihargai.

  1. Rangsang emosi

Sentuhan lembut adalah satu daripada bahasa cinta. Benar, kasih sayang tidak selalu harus ditunjukkan dengan sentuhan. Kucupan, pelukan, berpegangan tangan dan duduk berdekatan juga membantu merangsang  tindak balas positif dari segi emosi hingga mampu memberi perasaan lega dan tenang.

  1. Beri sokongan

Memberi pujian pada waktu tertentu membuat pasangan berasa diperlukan, dihargai dan diperhatikan. Pujian yang baik dan tepat memberi dorongan kepada pasangan untuk melakukan lebih baik atau paling tidak, mempertahankannya. Selain membantu hubungan menjadi lebih intim dan saling memahami.

  1. Penghargaan

Hadiah mempunyai pengaruh besar untuk menyemai perasaan cinta dan kasih antara pasangan suami isteri. Apatah lagi jika diberikan pada waktu tepat dan hadiah yang sesuai (diperlukan). Walaupun hadiah itu kecil dan tidak mahal, tetapi mampu mengungkapkan kasih sayang anda kepada pasangan.

  1. Jaga penampilan diri

Bagi pasangan berkerjaya dan setiap hari perlu berurusan dengan orang ramai, keadaan ini pastinya mendedahkan diri anda dengan ‘godaan luar kawalan’. Misalnya, anda atau pasangan mungkin sahaja tertarik dengan penampilan individu yang berurusan dengan anda.

Justeru, pasangan suami isteri harus sentiasa menjaga penampilan diri agar kelihatan menarik di mata pasangan. Selain penampilan, kebersihan diri harus dititik beratkan. Misalnya, bau mulut atau bau badan boleh membuat pasangan menjauhkan diri kerana tidak selesa.

  1. Kemesraan

Bergurau bukan sahaja membantu menenangkan hati dan fikiran, malah ubat kejenuhan, penawar kebosanan dan mampu mengukir senyuman. Bayangkan, betapa hambarnya hubungan anda dan pasangan jika tidak diselingi dengan gurau senda.

  1. Kerjasama

Dalam kesibukan kerja dan menguruskan rumah tangga, jangan batasi diri anda untuk berdua-duaan dengan pasangan.  Ada banyak cara yang boleh anda lakukan bersama pasangan. Misalnya, berbual santai ketika melakukan kerja rumah bersama atau keluar berdua boleh membantu menghangatkan hubungan dengan pasangan.

Foto: pixabay.com

comments

POST TAGS:
FOLLOW US ON:
“Tanpa Suami, Aku
Susu Badan, Bagus Un

mediawriter1@gmail.com

Rate This Article:
NO COMMENTS

LEAVE A COMMENT

Optimized with PageSpeed Ninja